Minggu

Tugas Agama SMANSID 2

SUMBANGAN INTELEKTUAL ISLAM DALAM SENI
 oleh
Zulkifli Hasan dan Hanani Harun1


ABSTRAK
Kesenian Islam telah mencapai tahap yang amat tinggi ketika era kegemilangan empayar
Islam  ketika dahulu. Malahan  sememangnya  tidak boleh dinafikan bahawa  sebahagian
besar  cabang  kesenian  yang  ada  pada  hari  ini  adalah  sumbangan  awal  dari  para
ilmuwan Islam. Fakta ini diperkukuhkan dengan nukilan sejarah yang merekodkan para
intelektual Islam yang  telah menghasilkan kerja seni yang  luar biasa mutunya malahan
kekal hingga kini sama ada dari aspek seni seperti seni khat, seni bina, seni muzik, dan
juga  seni  sastera. Artikel  ini akan melihat bagaimana  sumbangan mereka  ini  terhadap
perkembangan seni pada era mereka dan dunia hari ini.

PENDAHULUAN

  Keagungan empayar Islam satu ketika dahulu telah memberikan sumbangan yang
amat  besar  di  dalam  pembentukan  sejarah  ketamadunan  manusia.  Di  antara  ciri-ciri
keagungan  yang  telah dicapai oleh umat  Islam pada zaman kegemilangan mereka  ialah
kemajuan  yang  tinggi  dalam  bidang  ilmu  pengetahuan. Kemajuan  sains  dalam  sejarah
kebangkitan ilmu dalam Islam telah melahirkan tokoh-tokoh ternama yang sangat ramai.
Antaranya ialah al-Khawarizmi, al-Kindi, al-Farabi, al-Biruni dan sebagainya. Mereka ini
beserta  ramai  lagi  tokoh  ilmu  yang  lain  telah  meninggalkan  kesan  yang  besar  dalam
kemajuan ilmu pengetahuan bagi manusia sejagat. 

Di dalam artikel  ini penulis akan mengupas  tentang sumbangan  intelektual  Islam dalam
seni  berdasarkan  kepada  jenis-jenis  seni,  tokoh-tokoh  intelektual  Islam  dan  sumbangan
mereka terhadap seni tersebut. Intelektual menurut Kamus Dewan bermaksud mana-mana
orang  yang mempunyai dua ciri utama  iaitu  terpelajar, cerdik pandai, cendekiawan dan
mempunyai kemampuan yang  tinggi untuk berfikir dengan menggunakan akal budi  (ms
457  Kamus  Dewan,  1991). Manakala  seni  pula  memberi  erti  halus,  elok,  tipis,  enak
didengar, comel dan merupakan karya yang diciptakan dengan bakat ataupun kecekapan
                                                
1
 Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Kementerian Pelajaran Malaysia. 
2
hasil daripada  sesuatu  ciptaan  (ms. 1169, Kamus Dewan, 1991).   Di  sini, penulis  akan
membincangkan tentang sumbangan-sumbangan para ilmuwan Islam dalam pelbagai seni
seperti seni khat, seni bina, seni muzik, dan juga seni sastera. 

(a)  SENI BINA

  Seni  bina  merupakan  di  antara  bentuk-bentuk  seni  yang  terdapat  pada  sesuatu
tamadun. Menurut Ab. Alim dan Syed  Idrus  (1995),  seni bina bermaksud  “satu bidang
seni untuk mendirikan bangunan,  reka bentuk dan  reka  letak  yang dibina oleh manusia
untuk digunakan oleh manusia”. Ibn Khaldun (dalam Mahayudin, 2004) pula berpendapat
bahawa seni bina merupakan satu daripada ciri-ciri ketamadunan yang penting kerana ia
merupakan lambang atau mercu tanda kegemilangan sesuatu bangsa atau negara.

Pencapaian dan pembangunan seni bina telah bermula sejak zaman Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam  (SAW)  lagi.  Ini  dapat  dilihat menerusi  pembinaan Masjid Quba’  dan
Masjid  Nabawi  (Mahayudin,  2004).  Pada  zaman  pemerintahan  Khulafa’  al-Rashidin,
terutamanya zaman Khalifah ‘Umar al-Khattab, perkembangan seni bina dianggap paling
berjaya kerana beliau amat mengambil berat tentang pembaharuan dalam pelbagai bidang
khususnya pembinaan masjid.

Pada  zaman  Kerajaan  Bani  Umayyah  dan  Bani  Abbasiyyah,  khalifah-khalifah  yang
memerintah telah banyak memberi sumbangan penting dalam pencapaian seni bina Islam.
Di antaranya ialah:

Khalifah al-Walid bin ‘Abdul Malik (86-87H)

Semasa  pemerintahan  Khalifah  al-Walid,  Masjid  Suriah  di  Damsyik  yang  dahulunya
merupakan  sebuah gereja masyarakat Kristian berbangsa Yunani  telah diperbaharui dan
dibangunkan  semula  (Mahayudin,  2004).  Menurut  pengarang  ini  lagi,  pada  zaman
pemerintahan  beliaulah  bermulanya  pembinaan  unsur-unsur  bangunan  masjid  secara
lengkap seperti mihrab, mimbar, menara, selain tiang dan dinding serta atap.   3

Khalifah  al-Walid  banyak  menyumbang  ke  arah  kemajuan  seni  bina  Islam  semasa
pemerintahannya  sehingga  beliau  digelar  ‘Pembina  Agung  Kerajaan  Bani  Umayyah’
(Mahayudin,  2004).  Beliau  telah membina  pejabat-pejabat  kerajaan  dan  juga  beberapa
bangunan  bagi  mengindahkan  kota  Damsyik  dan  memulihara  Masjid  Nabawi  di
Madinah, Masjid  al-Haram  di Makkah  dan Masjid  al-’Aqsa  di Bayt  al-Maqdis. Beliau
juga telah menyempurnakan pembinaan batu di Bayt al-Maqdis iaitu Qubbah al-Sakhrah.
(Mahayudin, 2004).

Khalid bin ‘Abdullah al-Qasri

Beliau  merupakan  gabenor  kepada  Khalifah  Hisham  bin  ‘Abd  al-Malik.  Menurut
Mahayudin  (2004),  beliau  telah  berjaya  membina  parit-parit  dan  tali  air  dalam  usaha
menyiapkan projek pertanian yang dirancang oleh Khalifah Hisham bin Abd al-Malik.

Khalifah Abdul Rahman II

Di antara  sumbangan Khalifah Abdul Rahman  II dalam aspek  seni bina  ialah membuat
projek membina menara-menara lampu di beberapa pelabuhan untuk memudahkan kapal-
kapal perdagangan berlabuh di pantai-pantai Andalus (Mahayudin, 2004).

Khalifah Abu Ja’far al-Mansur 

Nama  penuh  beliau  ialah Abu  Jaafar Abdullah  bin Muhammad  bin Ali  al-Abbas  telah
dilahirkan di 101H di al-Hamimah (Mohd Mokhtar, 1993). Hasan Ibrahim (dalam Mohd
Mokhtar, 1993) menyatakan bahawa beliau merupakan khalifah Abbasiyah  yang kedua
selepas Abu al-Abbas al-Saffah. Beliau telah mendirikan sebuah istana yang bernama al-
Khuldi di pinggir Sungai Dajlah. Rekabentuk  istana  ini sangat  indah dan kedudukannya
yang  strategik  telah  menyebabkan  beliau  menamakannya  ’Qasr  al-Khuldi’  yang
bermaksud  istana abadi. Beliau  juga  telah membina Masjid Jami’ al-Mansur di hadapan   4
Istana al-Zahab yang mana merupakan masjid yang tertua di Kota Baghdad (Mahayudin,
2004).

Khalifah al-Mahdi

Khalifah  al-Mahdi  ialah  khalifah  yang  ketiga  dalam  khalifah-khalifah  Bani Abbasiyah
peringkat  pertama  (Mohd  Mokhtar,  1993).  Beliau  telah  membina  Istana  al-Salam  di
Isabaz dan Masjid Jami’ al-Rishafah pada tahun 157H (Mahayudin, 2004).

Khalifah al-Ma’mun

Universiti Nizamiyyah merupakan  pusat  pengajian  tinggi  formal  yang  ditubuhkan  oleh
Khalifah al-Ma’mun di zaman pemerintahannya. Penubuhan universiti ini telah memberi
peluang  yang  besar  kepada  orang  ramai  untuk menimba  ilmu  di  peringkat  yang  lebih
tinggi  (Mahayudin, 2004).  Imam Abu Hanifah,  Imam Shafii,  Imam Malik, al-Kindi, al-
Farabi,  Abu  Bakar  al-Razi  dan  Ibn  Sina  adalah  antara  tokoh-tokoh  intelektual  yang
pernah menuntut di universiti bersejarah ini.

Beliau telah membina Bayt al-Hikmah yang merupakan pusat kegiatan ilmu pengetahuan
yang  terbesar  terletak di Baghdad (Mahayudin, 2004). Pelbagai aktiviti penulisan karya-
karya  ilmiah dan  juga  aktiviti penterjemahan buku ke dalam bahasa Arab dijalankan di
kutub  khanah  ini.  Beliau  juga  telah  memperkembangkan  bidang  astronomi  dengan
membina  pusat  astronomi  di Syamsiyah,  berhampiran Kota Baghdad  untuk mengawasi
pergerakan bintang (Mahayudin, 2004). Kesan daripada penubuhan ini ahli-ahli geografi
Islam telah berjaya membuktikan bahawa dunia ini bulat yang mengandungi 360 darjah.

Ibrahim al-Farazi

Beliau merupakan seorang ahli geografi Islam yang telah membuat banyak kajian. Beliau
telah  berjaya  mencipta  astrolab  yang  digunakan  oleh  ahli  pelayaran  sehingga  kini
(Mahayudin, 2004).   5

Sultan Malik Syah

Sultan Malik  Syah  telah membina Balai Cerap  (Observatori)  untuk  kegunaan  ahli-ahli
astronomi mengadakan  persidangan. Di Balai  cerap  inilah Kalendar  Parsi  diperbaharui
(Mahayudin, 2004).

(b)  SENI MUZIK

Muzik boleh ditakrifkan sebagai bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang
indah dan menyenangkan  (Mahayudin, 2004). Bangsa Yunani dikatakan  perintis dalam
bidang  seni  muzik.  Namun  begitu  setelah  kedatangan  Islam,  orang-orang  Islam  telah
memajukannya.  Perkembangan  seni  muzik  berlaku  pesat  pada  zaman  pemerintahan
Kerajaan Abbasiyah di mana kebolehan menyanyi dan bermain alat muzik dijadikan pra
syarat  untuk  diterima  bekerja  (Mohd Mokhtar,  1993). Kesannya,  lahirlah  ramai  tokoh-
tokoh terkemuka yang arif dalam bidang muzik seperti al-Farabi dan al-Kindi.

Al-Farabi

Nama  sebenar  al-Farabi  ialah  Abu  Nasr  Muhammad  Ibn  Muhammad  Ibn  Tarkhan
(Haliza,  2006).  Beliau  dilahirkan  pada  260  Hijrah  (874  Masihi)  di  Khurasan,  Turki.
Beliau  banyak menyumbang  dari  segi  pemikiran  serta  penghasilan  buku  dalam  bidang
falsafah, mantik, sosiologi, sains dan muzik. 

Di dalam seni muzik, al-Farabi merupakan seorang pemuzik yang handal dan  lagu hasil
karya  beliau  meninggalkan  kesan  secara  langsung  kepada  pendengarnya.  Selain
mempunyai  kemampuan  bermain  alat muzik,  beliau  juga  berjaya mencipta  sejenis  alat
muzik yang dikenali sebagai gambus (Umar, 1983). Mahayudin (2004) pula menyatakan
bahawa  al-Farabi  adalah  pencipta  dan  pengembang  seni muzik  daripada  alat  rabah  dan
qanun.
   6
Al-Farabi  turut  menghasilkan  sebuah  buku  yang  mengandungi  pengajaran  dan  teori
muzik Islam yang diberi judul al-Musiqa (Haliza, 2006, Mahayudin, 2004, Abd Alim dan
Syed  Idrus, 1995). Menurut Mahayudin  (2004), beliau  juga  terkenal menerusi karyanya
yang  diterjemahkan  bertajuk  Grand  Book  on  Music,  Styles  in  Music  dan  On  The
Classification  of  Rhythm.  Buku-buku  ini  sebenarnya  diterjemahkan  daripada  karya
bahasa  Arab  dan menjadi  rujukan  penting  di  Eropah.  Selain  itu,  beliau  juga memberi
sumbangan yang besar dalam penciptaan not-not muzik.

Al-Kindi

Nama sebenar al-Kindi ialah Abu Yusuf Ya’qub Ibn Ishaq al-Kindi.  Beliau dilahirkan di
Kufah  sekitar  tahun  800  Masihi  (Dipetik  di  http://www.muslimheritage.htm).  Beliau
merupakan  seorang  yang  pakar  dalam  bidang  muzik  dan  banyak menghasilkan  buku-
buku mengenai  teori-teori muzik. Banyak karyanya  telah diterjemahkan kepada bahasa-
bahasa Eropah antaranya, Essentials of Knowledge  in Music, On The Melodies dan The
Necessary Book in the Composition of Melodies (Mahayudin, 2004).  

Al-Kindi  juga  telah  berjaya  menemui  pelbagai  not  muzik  yang  mana  apabila
digabungkan akan menghasilkan harmoni. Mengikut beliau, nada-nada suara yang terlalu
rendah  dan  terlalu  tinggi  adalah  tidak  seimbang  dan  tidak  menyenangkan  (Dipetik  di
http://www.muslimphilosophy.com). Al-Kindi juga berpendapat bahawa muzik termasuk
dalam  disiplin  ilmu  sains,  di  samping  turut  berhubung  rapat  dengan  matematik  dan
memberi kesan terhadap kesihatan (Mahmood Zuhdi, 2003).

Muhyiddin Ibn Arabi

Beliau  merupakan  seorang  ahli  muzik  Islam  yang  terkenal.  Karya-karyanya  banyak
berkisar  tentang  alat-alat  muzik  (Mahayudin,  2004).  Di  dalam  bukunya  beliau
menerangkan bahawa Islam mencadangkan agar seni muzik dipertingkatkan.

   7
Safi al-Din Abd al-Mu’min

Beliau merupakan orang yang pertama  sekali membina  sekolah muzik. Malahan, beliau
turut  menghasilkan  beberapa  karya  muzik  menerusi  Syarifiya  dan  Modus  Muzik
(Mahayudin,  2004). Beliau  turut  digelar  ’Father  of Music’  oleh  ahli muzik Barat  yang
mengagumi hasil karya seninya.

Shams al-Din Muhammad bin Safi al-Din

Beliau adalah anak kepada Safi al-Din yang  juga merupakan pakar dalam bidang muzik
yang  terkenal.  Terdapat  buku-buku  hasil  ciptaannya  yang  diterjemahkan  seperti  The
Jewels of Arrangement in the Knowledge of the Melodies (Mahayudin, 2004).

Al-Isfahani

Beliau merupakan seorang yang pakar dalam seni muzik. Hasil karya beliau yang begitu
terkenal  ialah al-Aghani dan  telah diterjemahkan ke dalam bahasa Eropah dengan nama
The Grand Book of Songs yang mengandungi 21 jilid (Mahayudin, 2004).

Khalil bin Ahmad

Beliau  ialah  orang  yang  pertama  berjaya  menghasilkan  kamus  muzik  yang  telah
diterjemahkan  bertajuk  The  Book  Notes  dan  The  Book  of  Rhythm  (Mahayudin,  2004).
Hasil  karya  beliau  ini  telah  dijadikan  sebagai  buku  teks  rujukan  bagi  pelajar-pelajar
universiti di Sepanyol (Mahayudin, 2004).

Al-Urmawi

Nama  sebenar  beliau  ialah  Abd  al-Mu’min  Ibn  Yusuf  Ibn  Fakhir  (Dipetik  di
http://www.muslimheritage.com). Beliau dilahirkan pada tahun 1230 Masihi. Al-Urmawi   8
begitu dikenali kerana beliau merupakan seorang pembuat biola dan juga ahli muzik pada
zaman Khalifah al-Musta’sim.

Berdasarkan  fakta-fakta di atas dapat disimpulkan bahawa orang-orang  Islam bukannya
mencedok  ilmu muzik  daripada masyarakat Yunani  tetapi  telah  terbukti mereka  begitu
kreatif dalam penghasilan karya muzik yang tersendiri.

(c)  SENI KHAT DAN KALIGRAFI

Seni  khat merupakan  satu  seni  yang  berkembang  seiring  dengan  perkembangan
bidang  seni  yang  lain  terutama  sekali  seni  ukiran.  Hal  ini  diperakui  oleh  kebanyakan
penulis  buku  Tamadun  Islam  (Ghazali,  2001,  Ab.  Alim  dan  Syed  Idrus,  1995,
Mahayudin, 2004, Kamil al-Baba, 1992). Seni khat ialah satu seni yang berkaitan dengan
tulisan. Syeikh Shams  al-Din  al-Akfani  (dalam Mahayudin, 2004) menjelaskan bahawa
seni  khat  atau  kaligrafi  adalah  satu  ilmu  yang  memperkenalkan  bentuk-bentuk  huruf-
huruf  tunggal,  letaknya dan cara-cara merangkainya menjadi  tulisan yang  tersusun  atau
apa-apa yang ditulis di atas garis-garis bagaimana cara menulisnya dan menentukan mana
yang  tidak  perlu  ditulis;  menggubah  ejaan  yang  perlu  digubah  dan  menentukan  cara
bagaimana untuk menggubahnya. 

Terdapat banyak khat yang digunakan oleh orang Islam seperti khat kufi, nasakh, thuluth,
rayhan, muhaqqaq, tawqi’, riq’ah, diwan, ijazah, parisi, diwan jali, ta’liq, nasta’liq, dan
sebagainya  (Kamil  al-Baba,  1992).  Terdapat  sumber  mengatakan  bahawa  khat  yang
tertua  ialah  khat  kufi  (Mahayudin,  2004, Ab.  Alim  dan  Syed  Idrus,  1995  dan  Seyyed
Hossein Nasr,  1987). Di  antara  tokoh-tokoh  ilmuwan  yang  terkenal  dalam  bidang  seni
khat dan kaligrafi ialah Ibn Muqlah, Ibn Bawwab dan juga Yaqut al-Musta’simi.

Ibn Muqlah

Nama  sebenar  beliau  ialah Abu Ali Muhammad  Ibn Ali  Ibn Muqlah  (Kamil  al-Baba,
1992). Beliau dilahirkan di Baghdad dalam  tahun 886 Masihi merupakan di antara ahli   9
kaligrafi yang masyhur di zaman pemerintahan Bani Abbasiyyah.  Ibn Muqlah dianggap
sebagai  pencipta  tulisan  khat  naskhi  yang  menggantikan  tempat  khat  kufi  dalam
keseragaman kaligrafi Islam (Kamil al-Baba, 1992). 

Beliau  telah  memperkenalkan  khat  al-Mansub  (proportional  script)  di  dalam  sejarah
kaligrafi  Islam.  Di  dalam  khat  ini,  beliau  telah menetapkan  satu  sistem  ukuran  dalam
menulis  satu-satu  huruf. Misalnya  huruf  alif  ditulis  berpandukan  titik-titik  (3,  5  atau  7
titik) (Kamil al-Baba, 1992).  

Ibn Bawwab

Ibn Bawwab  ialah Abu  al-Hassan Ali  Ibn Hilal  Ibn  al-Bawwab  dilahirkan  di Baghdad
(Seyyed Hossein Nasr, 1987). Beliau digelar Ibn Bawwab kerana ayahnya adalah seorang
jurukunci  (bawwab) Dar  al-Qada’  (bilik  pengadilan)  di Baghdad.  Semenjak  kecil  lagi
beliau  telah mempelajari  ilmu  khat  dengan Muhammad  Ibn Asad  dan Muhammad  al-
Simsimani (Kamil al-Baba, 1992).

Beliau  yang merupakan  ahli  kaligrafi  pada  zaman  Bani  Abbasiyyah  dianggap  sebagai
pencipta  kepada  khat  rayhani  dan  muhaqqaq  (dipetik  di  http://www.muslim.org).
Terdapat sebanyak 64 buah al-Qur’an ditulis oleh Ibn Bawwab yang mana salah satunya
ditulis dengan khat rayhani (Kamil al-Baba, 1992).

Yaqut al-Musta’simi

Nama  sebenar  beliau  ialah  Syekh  Jamaluddin  Yaqut  al-Musta’simi  al-Thawusyi  al-
Baghdadi  (Kamil  al-Baba,  1992).  Selain  daripada  menjadi  ketua  di  Perpustakaan  al-
Mustansyiriyyah, beliau  juga dikenali sebagai budayawan dan ahli pujangga. Tulisannya
dikatakan lebih cantik daripada Ibn Muqlah dan Ibn Bawwab.
   10
Beliau pernah digelar sebagai Qiblat al-Kuttab yang bermaksud kiblat para penulis khat
Kamil al-Baba, 1992). Beliau juga dikatakan pengasas kepada ”Sittah”enam jenis tulisan
yang terkenal ketika itu (Ghazali, 2001).

(d)  SENI SASTERA

Kesusasteraan  Islam bermula  sejak dari  turunnya wahyu dari Allah Subahanahu
Wataala  (SWT)  yang  terakhir  iaitu  kitab  al-Qur’an  al-Karim.  Al-Qur’an  merupakan
sebesar-besar mukjizat bagi umat  Islam. Menurut Mustafa Haji Daud  (1991), al-Qur’an
itu  ialah  sumber  kesusasteraan  Islam  yang  dapat  dilihat  dari  dua  aspek  iaitu  keindahan
bahasa dan dari segi isi. Maka tiada sesiapapun yang dapat menandingi keindahan bahasa
yang terkandung dalam al-Qur’an.

Terdapat  ramai  tokoh-tokoh  ilmuwan  Islam  yang  memberi  sumbangan  yang  besar  di
dalam  seni  sastera  Islam. Karya-karya  seperti The Arabian Night, Ali Baba and  the 40
Thieves,  Sinbad  the  Sailor,  dan Aladin  and  the Magic  Lamp  begitu  popular  hingga  ke
negara-negara Barat. Di antara intelektual Islam yang terkenal dalam seni sastera ialah:

Firdawsi

Firdawsi  amat  terkenal  melalui  hasil  karyanya  yang  berjudul  Hikayat  1001  Malam
(dipetik  di  http://www.muslimphilosophy.com). Ceritanya  telah  banyak memberi  kesan
kepada masyarakat  Islam  dan  tidak  ketinggalan  juga  orang-orang Barat  sehinggakan  ia
telah  diterjemahkan  ke  dalam  beratus-ratus  bahasa.  Beliau  juga  menghasilkan  karya
bertajuk Shah Nameh  yang  turut diterjemahkan ke dalam bahasa  Inggeris dengan  judul
Epic Kings (Ghazali, 2001). 

Ibn Tufayl

Nama sebenar beliau ialah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn
Muhammad  Ibn Tufayl  al-Qaysi  (dipetik di http://www.muslimheritage.com). Di dalam   11
karyanya,  beliau  menceritakan  tentang  bagaimana  seseorang  mencapai  fasa
perkembangan  yang  tinggi  sekali  tanpa  bantuan  apa-apa  daripada  orang  lain  atau  dari
alam  sekitarnya  (Hasan,  1971).  Ibn  Tufayl  dengan  karyanya  Hayy  Ibn  Yaqzan  yang
mengungkapkan  bahawa manusia  boleh mengenal  Tuhan  tanpa  wahyu  dan  guru  telah
mempengaruhi pemikiran orang Eropah. Karya  ini  telah diterjemahkan ke bahasa Latin
oleh Roger Bacon dan diterbitkan bersama-sama  teks Arab di Oxford pada  tahun 1671
(Dipetik di http://www.members.tripod.com/man 999/  sumbangan_Islam_2.htm). Orang
Eropah  bukan  setakat  menterjemah  malahan  mereka  juga  menghayatinya  melalui
penciptaan kisah-kisah berdasarkan idea yang dikemukakan dalam buku tersebut. Antara
kisah tersebut ialah Crusoe yang dihasilkan pada abad ke 18 (Hasan, 1971).

Omar Khayyam

Omar Khayyam  juga  terkenal sebagai seorang penyair yang hebat di zamannya. Malah,
beliau pernah menjadi terkenal di kalangan dunia Barat sejak tahun 1839 apabila Edward
Fitzgerald menerbitkan  terjemahan Bahasa  Inggeris bagi bukunya, Rubayyat  (Dipetik di
http://www.tutor.com.my/tutor) . Buku ini menggambarkan kehebatan dan kekayaan ilmu
yang dimilikinya. Sumbangan beliau sebagai ahli falsafah banyak meletakkan asas dalam
tamadun keilmuan manusia sejagat.

Abu al-Sult Ibn Abdul Aziz

Antara  sarjana  Islam  yang  terkemuka  di  Andalus  pada  abad  keenam  hijriyyah
termasuklah  Abu  al-Sult  Umaiyah  Ibn  Abdul  Aziz  Ibn  Abi  al-Sulf  (Mahmood  Zuhdi,
2003). Beliau dilahirkan di Daniat, Andalus Timur pada tahun 459 H (1067 M) (Ibn Abi
Usaiba’ah,  1965). Beliau  banyak menggubah  syair-syair  puji-pujian  kepada  raja  untuk
mencari rezeki. Selain antologi-antologi syair, beliau juga menghasilkan karya berkenaan
dengan sastera iaitu al-Mulah al-Asriyah, Hadiqah al-Adab, dan al-Risalah al-Misriyyah
(Ibn Abi Usaiba’ah, 1965).

Ibn Bajjah   12

Beliau  ialah  Abu  Bakr Muhammad  Ibn Yahya  al-Sa’igh  dilahirkan  di  Saragossa  pada
tahun 457 H  (1082 M)  (Mahmood Zuhdi, 2003). Beliau merupakan seorang sasterawan
yang unggul, ahli bahasa dan seorang hafiz al-Qur’an. Beliau menghasilkan karya seperti
Risalah al-Wida’, al-Risalah al-Ittisal dan al-Madinah al-Fadilah (Umar Furrukh, 1983).

KESIMPULAN

  Berdasarkan  fakta  yang dinyatakan di atas,  sememangnya  telah  terbukti bahawa
tamadun  Islam  telah memberikan sumbangan yang amat besar melalui  intelektual  Islam
di  dalam  perkembangan  sebahagian  besar  cabang  seni  yang wujud  pada  hari  ini.  Pada
hakikatnya Islam tidak pernah menolak kesenian malahan menerapkan unsur-unsur murni
yang menjadi teras kepada setiap cabang seni iaitu Tauhid bersesuaian dengan peredaran
zaman.  Jelas menunjukkan  bahawa  perkembangan  seni  sama  ada  seni  khat,  seni  bina,
seni  sastera mahupun  seni muzik  telah  pun  dibangunkan  awal-awal  lagi  oleh  ilmuwan
Islam.  Buktinya  ramai  pencinta  seni  dari  barat  mempelajari  dan  mengkaji  hasil  seni
ilmuwan  Islam  dan  seterusnya  menggunakan  pengetahuan  itu  untuk  menjadi  teras
kebangkitan ketamadunan mereka.  Malahan pembangunan ilmu dalam dunia Islam telah
diakui  sebagai  pemangkin  kepada  Zaman  Renaissance  atau  Pembaharuan  di  Eropah
(Azhar et.al, 2002)  yang akhirnya melahirkan satu tamadun yang gemilang di sana.

Generasi pada hari ini sepatutnya merasa bangga dengan sumbangan ilmuwan Islam yang
begitu besar terhadap peradaban dan tamadun manusia malahan mereka perlu mempunyai
semangat dan  iltizam untuk mengulangi keagungan  tahap pencapaian  ilmu pengetahuan
intelektual  Islam  satu masa  dahulu.  Apa  yang  membantu  kejayaan  umat  Islam  dalam
bidang-bidang  ilmu  seperti  ini  ialah  Islam  itu  sendiri  yang bersikap  terbuka dan positif
terhadap  ilmu  pengetahuan.  Malahan  al-Qur’an  juga  sentiasa  menggesa  umat  Islam
supaya  berfikir  dan  meneliti  tentang  manusia  dan  alam  Adalah  menjadi  aspirasi  dan
impian  kita  untuk menyaksikan  suatu  hari  nanti  sejarah  keagungan  umat  Islam  seperti
dahulu akan kembali berulang.   13
RUJUKAN

Buku

Azhar, M.A., Azharudin, M.D., Suffian, M. & Zulkanain, A.R. (2002). Tamadun
Islam dan tamadun Asia. (2nd
 ed.). Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
 Ab. Alim, A. R. & Syed Idrus, S. M. (1995). Tamadun Islam. Kuala Lumpur:
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ghazali, D. (2001). Sumbangan sarjana dalam tamadun Islam. Kuala Lumpur:
Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
  Hasan, L. (1987). Pendidikan Islam: satu analisa sosio psikologikal. (t.t.):
Pustaka Antara.
Kamil, B. (1983). Dinamika kaligrafi Islam. (Terjemahan: Sirojuddin, A. R.
(1992)). Jakarta: Dar al-‘Ulum Press.
Mahayudin, Y. (2004). Tamadun Islam. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn.
Bhd. 
Mohd Mokhtar, S. (1993). Sejarah keagungan kerajaan Islam. Kuala Lumpur:
Nurin Enterprise. 
 Seyyed Hossein Nasr. (1987). Spiritualitas dan seni Islam. (Terjemahan: Sutejo.
(1992)) Bandung: Penerbit Mizan.

Suratkhabar
Haliza, H. Al-Farabi. Berita Harian. Februari 27, 2006.

Internet

http://www.muslimheritage.com
http://www.muslimphilosophy.com
http://www.tutor.com.my/tutor
http://www.members.tripod.com/man999/sumbangan_Islam_2.htm

Tidak ada komentar:

Posting Komentar